Proton lancar 3 kereta konsep
GENEVA 2 Mac - Proton Holdings Bhd. melakar satu lagi sejarah penting sepanjang 25 tahun penubuhannya apabila melancarkan tiga kereta konsep serentak - Emas, Emas Country dan Emas-3 sebagai langkah strategik yang bakal memacu keupayaannya untuk bersaing di peringkat global.Ketiga-tiga kereta konsep berkenaan dibangunkan di atas platform casis yang sama tetapi mempunyai konfigurasi berbeza dari aspek penjanaan kuasa dengan tumpuan khusus terhadap aplikasi teknologi hibrid.
Siri kereta konsep itu adalah hasil kerjasama antara Proton bersama anak syarikatnya, Lotus serta mendapat sentuhan reka bentuk oleh Italidesign Giugiaro (Giugiaro), firma automotif terkemuka yang berpangkalan di Turin, Itali.
Majlis pelancaran ketiga-tiga kereta konsep itu disempurnakan bekas Perdana Menteri yang juga pengasas dan Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari pertama Pameran Motor Antarabangsa Geneva Ke-80 di Pusat Konvensyen Geneva Palexpo di sini hari ini.
Turut sama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengerusi Proton, Datuk Mohd. Nazmi Mohd. Salleh; Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir dan Pengerusi Giugiaro, Giorgetto Giugiaro.
Emas merupakan kereta hibrid yang menampilkan casis rekaan khusus bagi pemasangan enjin endothermic di hadapan, khusus bagi mengecas bateri ion litium untuk menghasilkan janaan kuasa elektrik dan bateri di bahagian belakang.
Emas Country dan Emas-3 pula dijangka dibangunkan berasaskan teknologi hibrid plug-in selain pemasangan enjin konvensional yang boleh digerakkan menggunakan petrol, etanol, metanol dan gas asli.
Dengan berukuran hanya tiga meter panjang, ketiga-tiga kereta konsep tersebut bagaimanapun direka khusus untuk memaksimumkan ruang dan pada masa sama mengekalkan konsep kereta kompak berciri kontemporari.
Tun Mahathir berkata, pengenalan kereta konsep berkenaan membuktikan kesungguhan Proton untuk bersaing di peringkat global dan tidak lagi hanya bergantung kepada pengeluaran model kenderaan bagi pasaran tempatan.
Beliau berkata, Proton, Lotus dan Italdesign sedang dalam proses memuktamadkan reka bentuk sebelum dijangka dikeluarkan untuk pasaran dalam tempoh dua tahun lagi.
‘‘Tapi saya harap ia (keputusan muktamad) itu dapat dilakukan segera, mungkin dalam setahun atau kurang kerana kita mahu pastikan kereta ini dapat berada di pasaran secepat yang mungkin,” katanya selepas majlis pelancaran itu.
Menurutnya, siri kereta konsep tersebut adalah manifestasi kesungguhan Proton untuk mengorak langkah lebih besar dengan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman selama 25 tahun dalam industri automotif.
‘‘Kerjasama dengan pemain utama seperti Giugiaro menceritakan komitmen Proton untuk mengukuhkan jenama dan bergerak lebih agresif dalam memenuhi tuntutan pasaran global,” tambahnya. – UTUSAN
confirm la mahal ni....
ReplyDelete